Jul 29, 2012

Istimewa Ramadan: Ibubapa – Mencintai Dia adalah Mencintai Mereka

By Umm Sulaym
Translated by Siti Manisah Ngalim
Read the original article HERE


Bismillah

Di satu bahagian diriku yang paling dalam, daripada teras dalam diriku yang paling dalam, terpacur Pancaran Cinta Mu

Pada waktu-waktu yang paling suram dalam hidupku, dari ruang-ruang masa yang paling muram, aku sentiasa bangkit dalam Cinta Mu

Bagaimana mungkin aku tidak mencintai mereka yang telah Engkau ciptakan untukku dan hanya untuk aku cintai?

Bagaimana mungkin tidak aku berusaha untuk mengukuhkan hubunganku dengan-Mu dengan menceriakan mereka yang memupukku dengan kasih saying?

Kerana mencintai-Mu adalah dengan mencintai mereka …

Dan menyembah-Mu adalah dengan mentaati mereka …

Asalamu`alaikom wa rahmatullah Saudara-saudara Perempuanku Yang Dikasihi,

Ramadan datang mengetuk. Kita teragak-agak membuka pintu, untuk menyambut mesra kedatangan Tetamu Baru. Untuk membuka pintu itu, kita bebaskan tangan-tangan dengan melepaskan apa sahaja yang ada di dalamnya. Kita merasa bangga dengan diri sendiri apabila kita berjaya khatam seluruh Al-Qur’an tetapi kita tidak menyedari bahawa kata-kata Allah subhanahu wa ta’aala menyumpah kita kerana tidak peduli untuk mengikut Arahan-Nya. Kita berpuasa, tetapi kita hilang kesabaran. Kita bersedekah untuk mereka di luar tanpa meminta balasan tetapi kita susuli dengan menyakitkan hati apabila bersedekah kepada mereka yang berada di bawah bumbung rumah kita. Kita sudi untuk bersegera melaksanakan arahan ketua kumpulan kita di tempat kerja atau apabila kita menjadi sukarelawan tetapi apabila ibubapa kita meminta bantuan ketika kita di hadapan komputer, kitalah makhluk yang paling lembab di atas muka bumi. Dan jika antara kita tidak suka akan suruhannnya, kita dengan senangnya menolak tanggungjawab tersebut dengan berkata:

“Alah, ibuku tidak membantu di saat aku amat memerlukannya. Mengapa perlu aku peduli?

“Ayah tidak mengizinkan kami berkahwin walaupun dia seorang lelaki yang bertaqwa. Dia tidak mengindahkan perasaan ku. Bagaimana mungkin aku memaafkannya?”

“Ibubapaku mendera perasaanku dan tidak membina keyakinan dalam diriku ketika aku membesar. Aku tidak rasa seperti ingin menghormati mereka.”

Kita mungkin tidak menyatakan semua ini tetapi kata-kata ini ujud dan menjalar dalam fikiran sesetengah dari kita yang menghalang daripada menjalankan tanggungjawab kita. Mengapa ianya satu beban dalam mencintai mereka yang Allah minta untuk kita cintai? Kerana kita tidak mencintai mereka hanya kerana Allah subhaanahu wa ta’alaa. Kerana kita hanya mengambil berat tentang apa yang kita dapatkan dan tidak kepada apa yang kita berikan. Kita terlupa bahawa kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita lakukan dan bukan bagaimana sikap orang lain terhadap kita.

Abu Bakr bin ‘Ayyash berkata:
“Aku sering duduk bersama Mansur (seorang ulama) dalam rumahnya dan akan mendengar ibunya, seorang yang lantang dan biadab, menjerit kepadanya, ‘Wahai Mansur! Ibn Hubairah (seorang gabenor Iraq ketika itu) melantik kamu sebagai seorang hakim, tetapi engkau menolak.’ Mansur tidak akan sesekali memandangnya pada mata kerana menghormatinya.” 

[Al Birr was-Silah, Ibn al Jauzi, pp. 85]

Ramadan adalah bulan dimana kebanyakan kita berusaha untuk melakukan sebanyak ibadah yang mungkin untuk diselitkan dalam jadual seharian. Kita melayan saudara sesama Islam dengan lebih baik dan lembut. Sementara semua itu adalah terpuji, amat penting untuk kita ingat bahawa individu yang paling layak menerima keperihatinan dan kasih-sayang adalah kedua ibubapa kita. Saya tidak akan bermain dengan emosi untuk menggalakkan anda agar berlaku baik terhadap mereka. Saya hanya akan menyatakan beberapa fakta yang menggerunkan. Percayalah, anda tidak akan mahu untuk terlepas daripada apa yang akan dibentangkan seterusnya dalam artikel ini.

Allah subhaanahu wa ta’aala berkata dalam al-Qur’an:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucaokanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil” [Surah Al Isra’, 17 : 23-24]

Kita membaca sekian banyak artikel dan penyelidikan serta merancang untuk mendapatkan Ramadan yang terbaik tetapi adakah kita berfikir dua kali tentang hubungan kita dengan ibubapa kita? Ironinya, sesetengah wanita Islam kelihatan berangan-angan untuk membina rumahtangga Islam mereka sendiri (berkahwin, mendapat anak dsb.) sedang mereka tidak mampu untuk menangani dan berlaku Ihsan dalam hubungan yang dengannya, Allah subhaanahu wa ta’aala telah sedia merahmati mereka.

Mengapa saya mengaitkan antara Ramadan dan sikap tanggungjawab terhadap ibubapa kita?

Disebutkan dalam Tafseer Ibn Kathir berkaitan dengan ayat di atas bahawa:

Terdapat banyak hadis yang bercakap tentang memuliakan ibubapa, seperti hadis-hadis yang disampaikan melalui beberapa rangkaian sanad daripada Anas dan lain-lain, yang menyatakan bahawa Rasulullah sallallaahu `alaihi wa sallaam menaiki mimbar, dan kemudian berkata, ‘Amin, Amin, Amin.’ Telah dikatakan, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau mengatakan Amin?” Baginda bersabda: “Jibrail telah datang kepada aku dan berkata, “Wahai Muhammad, celakalah kepada sesiapa yang mendengar namamu disebut dan tidak berselawat ke atasmu.” Dia berkata, “Katalah Amin,” lalu aku berkata Amin. Kemudian dia berkata, “Celakalah sesiapa yang melihat bulan Ramadan datang dan pergi, dan dia tidak diampunkan.” Dia berkata, “Katalah amin,” maka aku katakan Amin. Kemudia dia berkata, “Celakalah sesiapa yang membesar dan kedua ibubapanya atau salah seorang daripada mereka masih hidup, dan mereka tidak menjadi sebab dia memasuki Syurga.” Dia berkata, “Katalah Amin,” maka aku berkata Amin.”

Ingin tahu mengapa ianya penting untuk bersegera dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap ibubapa sebelum melakukan kerja-kerja sukarelawan? Kerana: jika dilakukan sebaliknya, perbuatan tersebut adalah SIA-SIA!

Rasulullah sallallaahu `alaihi wa sallaam telah bersabda: “Tiga perbuatan yang akan menyebabkan perbuatan baik seseorang itu sebagai sia-sia: (1) mensyirikkan Allah, (2) ‘Uquq terhadap kedua ibubapa dan (3) melarikan diri daripada medan perang.” [At-Tabarani]

Maksud ringkas ‘Uquq adalah bersikap tidak menghormati, tidak berlaku baik dan tidak bertanggungjawab. Beberapa jenis ‘Uquq termasuk: menyebabkan kesugulan dan kesedihan terhadap ibubapa dengan sebab perkataan atau perbuatan (membuat mereka menangis), berlaku jahat dihadapan mereka (perbuatan-perbuatan yang haram dan tidak bermoral), tidak mengakui atau mengabaikan ibubapa, menahan diri daripada mengekalkan hubungan yang kerap dengan mereka, mengharapkan kebebasan daripada kedua ibubapa yang tegas dalam mendisiplinkan kita dalam hal-hal yang membawa kepada ketaqwaan.

Dua kebaikan yang kita dambakan daripada Allah subhaanhu wa ta’aala dalam bulan Ramadan, yang mana dapat digandakan dengan memenuhi tanggungjawab terhadap kedua ibubapa:

1. Kita semua mahukan do’a-do’a diterima terutama dalam bulan Ramadan ini. Ingin tahu tentang individu-individu yang mana Rasulullah sallallaahu `alaihi wa sallaam iktiraf sebagai mereka yang do’a-do’anya diterima?

Asir ibn Jaabir radiallahu ‘anhu berkata: Setiap kali orang ramai datang dari Yemen, ‘Umar radhiallahu ‘anhu akan menanyakan kepada mereka, “Adakah Uwais b. Amir di kalangan kamu?” sehingga, dalam tahun tertentu, beliau bertemu Uwais. Beliau berkata, “Adakah kamu Uwais b. Amir?” Dia berkata, “Ya.” ‘Umar menyambung, “Daripada Muraad, kemudian Qaran?” Dia berkata, “Ya.” ‘Umar kemudian bertanya, “Adakah kamu pernah sekali menderita penyakit kusta dan kulitmu sembuh kecuali satu bahagian sebesar satu dirham?” Uways berkata, “Ya.” ‘Umar akhirnya bertanya, “Adakah kamu mempunyai seorang ibu (yang masih hidup)?” Dia berkata, “Ya.” ‘Umar kemudian berkata, “Aku mendengar Rasulullah sallallaau `alaihi wa salaam bersabda, ‘Uwais b. Amir akan datang kepada mu bersama delegasi daripada Yemen, dari Muraad, kemuduan dari Qaran. Dia pernah menderita penyakit kusta dan kulitnya telah sembuh kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia punyai seorang ibu, dan he melayani ibunya dengan baik. Jika dia bersumpah dengan nama Allah (untuk sesuatu) Allah akan penuhi sumpahnya. Jika dapat, kamu mohonlah agar dia meminta keampunan untuk mu.” ‘Umar kemudian memohon daripada ‘Uwais, “Mintalah keampunan untuk ku.” Dan dia (Uwais b. Amir) memenuhi permohonanya. [Sahih Muslim, Buku 31, Hadith No. 6172]

Perhatikan bahawa Uwais b. Amir Al-Qarni mempunyai peluang untuk meninggalkan ibunya dan pergi menemui Rasulullah sallallaahu `alaihi wa sallam tetapi beliau tidak berbuat demikian. Apakah yang lebih penting daripada pergi menemui Rasulullah sallallaahu `alaihi wa sallaam? Begitupun, beliau tetap bersama ibunya! SubhanAllah!

2. Kita mencari Syurga dalam menghormati hak-hak manusia dengan memprotes dan berhimpun untuk keadilan. Bagaimana jika kita menghormati hak-hak mereka yang berada di dalam rumah kita?

Rasulullah sallalaahu `alaihi wa sallaam menganggap perbuatan itu sebagai yang terbaik selepas solat, dan Rasulullah sallalaahu `alaihi wa sallaam mendengar bacaan Haarith ibn al-Nu’man dalam Syurga dan bersabda: “Dia telah mencapai tahap ini (dalam Syurga) kerana menghormati ibunya.” [Daripada Ibn Wahb dalam al-Jaami’ (22); dikelaskan sebagai sahih oleh al-Albaani dalam al-Silsilah al-Saheehah (913).]

Beberapa perkara yang boleh dilakukan Ramadan ini untuk memperbaiki hubungan kita dengan ibubapa:

Secara lalai: kita sepatutnya memenuhi semua keperluan dan permintaan mereka kecuali yang menyalahi agama kita. Mohonlah kemaafan daripada mereka terutamanya di dalam bulan Ramadan ini. Jika mereka marah atau berkecil hati, jangan tinggalkan mereka sehingga kita meminta maaf, bertaubat dan buat mereka tertawa (gembira) semula. Jangan lakukan perkara-perkara yang akan menyebabkan mereka merasa susah hati seperti berpergian sedangkan mereka tidak mahu kita berbuat demikian dan seterusnya. Lakukan kebaikan-kebaikan secara sembunyi bagi pihak mereka seperti mengagihkan bahan bacaan Islami. Terdapat beberapa hadis yang menyokong perbuatan ini maka marilah kita lakukan sedikit penyelidikan!

Jika kita tinggal bersama mereka:

• Siapkan hidangan bersahur yang baik untuk mereka dan hidangkan dalam bilik mereka.
• Pakaikan wangian ke atas bapa kita apabila dia pergi bersolat Tarawih dan ibu kita apabila dia bersolat di rumah.
• Minta mereka untuk mengajar kita sesuatu tentang Islam walaupun kita seorang ulama. Ini akan membuatkan mereka merasa diri mereka penting. Atau tanyakan kepada mereka sesuatu yang kita rasa mereka tahu tentang Islam walaupun kita tahu jawapan kepada soalan itu, hanya sebagai penyebab. Dan dengarkan jawapan mereka seolah-olah kita tidak pernah mendengar jawapan itu sebelum ini. Mereka akan merasa dimuliakan kerana kita mendengar jawapan mereka dengan teliti dan merasa kita menghormati ilmu mereka walaupun kita bukan lagi anak kecil.
• Urut bahu dan kaki mereka terutama selepas Tarawih. Sapukan krim atau losyen pada kaki mereka untuk membuatkan mereka rasa yang kita sanggup merendahkan diri kita dalam menunjukkan keperihatinan kita.
• Gosok baju-baju mereka dan susun atur ruang kerja mereka tanpa pengetahuan mereka (sudah tentu tanpa melanggar batas hak peribadi)
• Peruntukkan masa di waktu siang untuk berbicara dengan mereka tentang perkara yang mereka ingin bualkan. Ini akan menunjukkan bahawa kita berminat dengan kehidupan mereka.
• Berikan mereka pelukan secara rawak dan tidak teragak-agak untuk berbicara dari hati-ke-hati dengan mereka (tentunya dengan berhemah).

Jika kita tidak tinggal bersama mereka:

• Hantarkan kad atau e-kad Ramadan yang dipenuhi dengan do’a untuk mereka dan ucapkan terima kasih kepada mereka untuk masa lalu yang telah mereka gunakan bagi membantu kita mendapatkan Ramadan yang baik di waktu kecil. Ingatkan mereka tentang perkara-perkara baik yang mereka telah lakukan untuk kita dan yakinkan mereka yang kita tidak pernah melupakan perkara-perkara kecil tersebut.
• Hantarkan bunga kepada mereka beserta ucapan Ramadan yang hebat untuk mereka atau lawati mereka secara mengejut dengan membawa bersama juadah berbuka.
• Telefon mereka sekerap mungkin dan pinjamkan telinga untuk mendengar luahan mereka. Jangan sakiti kemuliaan mereka dengan perasaan simpati.
• Muliakan rakan-rakan karib serta keluarga ibubapa dengan menalifon mereka. Ini akan meningkatkan rasa hormat terhadap ibubapa kita di mata mereka dan akan meningkatkan rasa cinta antara ibubapa kita dan mereka.
• Jika kita mempunyai anak-anak, ajarkan mereka untuk mengasihi datuk dan nenek mereka. Minta mereka untuk membuat kraftangan yang pelbagai dan hantarkan kepada datuk nenek mereka melalui pos.
• Jika kita mempunyai ibubapa bukan Islam, kita boleh berdakwah kepada mereka dengan bersikap lebih baik dan memberitahu mereka bahawa Islam menggalakkan berbuat kebaikan kepada ibubapa tanpa mengenal batas agama.

Jika mereka telah meninggal dunia:

• Panjatkan do’a untuk mereka (kita mesti berdo’a untuk mereka walaupun mereka masih hidup)
• Amir bin Abdullah bin Az-Zubair berkata: “Selama setahun selepas kematian ayahku, apa yang aku lakukan hanyalah memohon kepada Allah untuk mengampunkan dia. [Birr-ul-Walidain, Ibn al Jauzi, pp. 78]
• Penuhi janji dan sumpah mereka (wasiat mereka dan sebagainya)
• Lakukan haji bagi pihak mereka.
• Mulakan amal jariah bagi pihak mereka, seperti menggali perigi, membina Masjid, Pusat Islam, perpustakaan, hospital, rumah anak-anak yatim dan sebagainya.
• Bersikap pemurah kepada rakan-rakan mereka, memberi mereka hadiah dan menjemput mereka berbuka puasa bersama
• Ajarkan anak-anak kita dan anak-anak orang lain untuk menghormati ibubapa.

PALING PENTING: Lakukan semua ini kerana Allah subhanahu wa ta’aala tanpa meminta timbal balas dan persiapkan mental kita bahawa jalan taqwa sentiasa hadir bersamanya ujian emosi yang mana dengan itu mereka yang benar dan ikhlas akan dapat dibezakan daripada mereka yang menipu dan berpura-pura.

Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. [Surah Al Ankaboot, 29:2 – 3]

Rabbir-Ham-humaa Kamaa Rabba-yaani sag-heera [Surah Al Israa, 17:24]

Marilah perkukuhkan hubungan dengan ibubapa kita agar semua perbuatan baik kita diterima di bulan Ramadan inshaa’Allah!

Dan Allah subhaanahu wa ta’aala Maha Mengetahui

P.S. Untuk membaca lanjut tentang berbuat baik kepada ibubapa, sila rujuk e-book yang baik ini.

Saya suka untuk mendengar pandangan anda semua tentang artikel ini. Sila tuliskan di bahagian komen di bawah :)

0 comments:

Post a Comment