oleh Tanpa nama
Translated by Siti Manisah Ngalim.
Read original article here.
Bismillah.
Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa [Surah Ash-Shura, 42: 49-50]
*** ‘Mungkin Allah subhanahu wa ta'aala mengingini kita menjadi seorang A`isyah dan bukan seorang Khadijah!’ ***
Begitulah Dunia ini berputar dan begitulah Allah subhanahu wa ta'aala telah membentuk Dunia ini. Kita mungkin memiliki sesuatu yang dimiliki orang lain dan kita mungkin tidak memiliki sesuatu yang tidak dimiliki orang lain.
Mereka yang masih bujang ingin berkahwin (dengan segera) kerana memikirkan hanya itulah bahagian hidup mereka yang belum sempurna. Mereka yang telah berkahwin inginkan zuriat (dengan segera) kerana mereka memikirkan satu-satunya cara untuk merasai kebahagian sebenar (dan berjaya) adalah dengan mempunyai zuriat. Mereka yang mempunyai zuriat inginkan yang terbaik untuk anak-anak di Dunia ini.
Yang punyai zuriat yang bertaqwa bimbangkan pengakhiran mereka sebagai orang-orang yang gagal di Dunia. Yang punyai zuriat yang tidak mencintai Tuhan bimbangkan akan aspek akhirat mereka. Yang telah berkahwin inginkan kebebasan. Yang masih sendirian ingin terikat dengan komitmen.
Tidak dapat tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa apa jua yang kita inginkan dan sama ada kita akan mendapatkannya atau tidak, kita sentiasa akan menginginkan yang lebih dan lebih lagi. Buktinya:
Daripada Anas bin Malik, radhiAllaahu anhu, beliau menyampaikan bahawa Rasulullah sallallaahu`alaihi wasallaam bersabda, “Jika anak Adam mempunyai satu lembah yang penuh dengan emas, dia pasti menginginkan dua lembah, kerana tiada yang dapat memenuhi mulutnya kecuali tanah. Dan Allah mengampunkan sesiapa yang bertaubat.”
[Sahih Bukhari, Volum 8 Bab 76 Nombor 447]
Bukanlah menjadi satu kesalahan bagi kita untuk menginginkan semua itu kerana begitulah Allah
subhanahu wa ta'aala telah menciptakan kita. Ianya adalah sesuatu yang sangat normal.
‘Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia; di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)’ [Surah Ali Imran, 3: 14]
Tetapi memberikan tumpuan hanya kepada perkara-perkara keduniaan bukanlah satu cara hidup yang sihat. Lensa kehidupan kita tidak harus hanya tertumpu kepada Dunia ini. Seorang Muslimah sejati punyai pandangan yang jauh dan dia harus dapat melihat lebih jauh dari itu. Matanya harus tertumpu kepada sesuatu yang lebih baik daripada semua kenikmatan dunia ini.
Allah
subhanahu wa ta'aala menyambung ayat di atas:
‘Katakanlah, inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawah sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (ada pula) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (Iaitu) orang-orang yang berdo’a: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari siksa neraka,” iaitu orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap ta’at, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur. [Surah Ali Imran, 3: 15 – 17]
Allah
subhanahu wa ta'aala menjanjikan kita suatu kebahagiaan yang tiada penghujungnya. Menjanjikan sebuah taman, sebagai tempat tinggal kita inshaAllah, yang kita tidak akan perlu membayar apa-apa untuk mendiaminya. Seorang suami atau teman pendamping yang mana tubuh dan rohaninya tidak mempunyai sebarang ciri negatif dan tidak menyenangkan. Dan yang paling berharga, Allah
subhanahu wa ta'aala menjanjikan keredhaan-Nya!
Bayangkan betapa leganya kita di Syurga nanti setiap kali kita meninggalkan sesuatu atas dasar cinta kepada Allah
subhanahu wa ta'aala dan ingin mencari keredhaan-Nya. Dan Allah
subhanahu wa ta'aala akan sentiasa redha terhadap kita selama-lamanya. Tetapi untuk mendapatkan semua itu, kita mesti melakukan semua perkara yang disebutkan dalam ayat di atas, seperti berikut:
- Meminta keampunan atas dosa dan mencari perlindungan daripada siksaan Api Neraka.
- Bersabar
- Bersikap benar terhadap Deen dalam perbuatan dan perkataan
- Menunjukkan ketaatan beserta kesetiaan yang ikhlas dalam beribadah kepada Allah subhanahu wa ta'aala
- Mengeluarkan Zakat
- Berdoa dan merayu Pengampunan Allah subhanahu wa ta'aala di jam-jam terakhir malam (Qiamul lail)
Wahai Saudara-saudara Se-Islam: hanya kerana tidak mempunyai zuriat, itu tidak bermakna kita:
- satu-satunya manusia yang diuji
- satu-satunya manusia yang tidak mendapat kerahmatan itu
- ada sesuatu yang tidak betul pada diri
Lebih buruk lagi apabila orang lain mula merasa simpati dan sebahagiannya mula mengata kita. Kita tidak punya masa untuk dibazirkan jika orang lain bersikap sedemikian. Dan kita pastinya tidak punya masa untuk dibazirkan dengan pemikiran bahawa kebahagiaan sebenar adalah dengan memperolehi zuriat. Selagi Allah subhanahu wa ta'aala tidak mengatakan yang demikian, siapakah KITA untuk memberi tafsiran yang sebegitu? Bukankah ini berbaloi untuk difikirkan?
Ini juga tidak bermaksud hanya kerana kita tidak mempunyai zuriat sekarang, maka kita tidak akan mendapatkannya selamanya. Jika Allah
subhanahu wa ta'aala mampu menciptakan Adam `alaihissalaam dengan mudah tanpa ibubapa dan Isa ibnu Mariam tanpa seorang bapa, lalu adakah mustahil bagi Dia untuk merahmati kita dengan seorang anak?
Bagaimana dengan kisah Zakaria `alaihissalaam yang telah terlalu tua sedangkan isterinya pula mandul? Beliau berkata:
“Wahai Tuhanku, bagaimana akan ada anak bagiku, padahal isteriku adalah seorang yang mandul dan aku (sendiri) sesungguhnya sudah mencapai umur yang sangat tua” Tuhan berfirman: “Demikianlah”. Tuhan berfirman: “Hal itu adalah mudah bagi-Ku; dan sesungguhnya telah Aku ciptakan kamu sebelum itu, padahal kamu (di waktu itu) belum ada sama sekali”
[Surah Mariam, 19: 8 – 9]
Maka apakah yang menghalang Allah
subhanahu wa ta'aala daripada merahmati kita dengan seorang anak?
Berikut adalah beberapa kemungkinan:
à Kita dan suami tidak mampu untuk menangani seorang anak. Mungkin si anak akan menyebabkan kita terpesong daripada jalan Allah subhanahu wa ta'aala! Ingatkah lagi kisah di dalam Surah Al-Kahf dimana Khidir membunuh seorang budak lelaki kerana dia akan menzalimi ibubapanya apabila besar kelak?
“Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang pemuda, maka Khidir membunuhnya. Musa berkata: “Mengapa kamu bunuh jiwa yang bersih, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang mungkar” (74) “Dan adapun anak muda itu, maka kedua orang tuanya adalah orang mu’min, dan kamu khawatir bahawa dia akan mendorong kedua orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran”(80) [Surah Al-Kahf]
Fikirkanlah! Dan Allah subhanahu wa ta'aala tidak akan membebankan seseorang melampaui keupayaannya.
‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya…’ [Surah Al Baqarah, 2: 286]
à Dosa-dosa lepas kita dan suami. Ini tidak bermakna mereka yang mempunyai anak adalah orang-orang yang soleh. Tidak sama sekali. Tetapi apabila seseorang menghadapi suatu keadaan yang mencabar, dia harus melihat ke dalam dirinya dan mencari sebab mengapa rezeki seperti itu tidak dia perolehi?
“Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, - sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun – nescaya dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.’” [Surah Nuh, 71: 10 – 12]
Di sini Nuh `alaihissalaam mencadangkan satu kunci bagi kita untuk mendapatkan rahmat hujan, harta yang bertambah dan zuriat iaitu istighfar. Justeru jika kita sangat menginginkan zuriat, marilah memberi tumpuan kepada membina rutin ber-istighfar. Sudah tentu sebahagian besar dari kita menginginkan zuriat tetapi adakah sebahagian besar dari kita juga akan berakhir dengan meminta keampunan?
à Allah subhanahu wa ta'aala mahu memilih kita untuk-Nya. Apa yang dimaksudkan adalah pada kebiasaannya hati-hati kita dipenuhi dengan kecintaan kepada manusia dan kebendaan. Sebaik sahaja manusia dan kebendaan itu tiada lagi dalam hati kita, maka ketika itu barulah kita punyai ruang untuk Allah subhanahu wa ta'aala. Seseorang itu tidak mungkin punyai Allah subhanahu wa ta'aala dan kecintaan terhadap Dunia ini serentak kerana kita sedia maklum bahawa hati itu sama seperti sebuah bekas. Tidak mungkin ia dapat diisi dengan semua benda. Maka kita akan berakhir dengan menyenangkan orang-orang yang kita cintai dan melupakan Dia yang menganugerahkan kita dengan objek yang kita cintai itu dan perasaan cinta itu sendiri.
‘…Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah…’ [Surah Al-Baqarah, 2: 165]
Dengan tidak mengurniakan zuriat, Allah
subhanahu wa ta'aala menginginkan kita untuk tidak membazirkan perasaan-perasaan itu ke atas anak-anak. Sebaliknya Dia
subhanahu wa ta'aala menginginkan agar kita mencintai Dia lebih daripada yang lain. Dia mahu mengosongkan hati kita daripada kecintaan lain yang membelenggu dan menjadikan kita lemah. Dan Dia menginginkan agar kita mencintai hanya Dia. Dia seorang, sehinggalah mata kita hanya dapat melihat petunjuk yang Dia anugerahkan dan telinga kita mendengar apa yang Dia inginkan kita mendengarnya. Dia
subhanahu wa ta'aala tidak mahu kita terganggu. Dia ingin supaya kita menumpukan perhatian kepada tujuan penciptaan yang lebih utama.
Bukankah ini membuatkan kita lebih mencintai Allah
subhanahu wa ta'aala?
Bayangkan situasi A`isyah radhiallaahu `anha. Beliau tidak mempunyai zuriat. Tetapi tahukah kita bahawa beliau berakhir dengan mengajar dan membimbing berjuta-juta dan berbilion-bilion anak-anak. Beliau bukan sahaja seorang ibu kerana beliau adalah Ummahat al-Mukminin, Ibu kepada orang-orang Islam. Tetapi beliau hidup atas tujuan itu dengan menjaga mereka yang datang untuk belajar daripadanya seperti seorang ibu.
Jadi bagaimana jika kita tidak akan pernah menjadi seorang ibu? Tidak dapatkah kita menyalurkan perasaan cinta itu dengan membimbing anak-anak orang lain? Tidak dapatkah kita menjadi ibu kepada anak-anak yatim? Tidak dapatkah kita menjadi satu rahmat ke atas anak-anak orang lain dengan mendidik mereka menjadi Muslim yang hebat?
Fikirkanlah! Fikirkan tentang ganjarannya!
Kita mungkin tidak menjadi seorang Khadijah, yang melahirkan kesemua anak-anak Rasulullah sallallaahu `alaihi wasallam tetapi kita berpeluang menjadi seorang A`isyah. Khadijah radhiallaahu `anha mendidik anak-anak yang cemerlang dan kita sedia maklum akan keindahan kualiti seorang wanita yang ada padanya serta sumbangan beliau yang hebat dan tidak ternilai demi Islam. Tetapi beliau tidak berpeluang menjadi seperti Aisha radhiallaahu `anha, iaitu mendidik para Salaf, menjadi seorang wanita yang faqih. Mengapa? Kerana Allah
subhanahu wa ta'aala memberikan suatu rahmat kepada sesetengah orang, dan rahmat yang lain kepada sesetengah yang lain pula.
Apa yang lebih penting untuk diingati ialah bagaimana KITA menggunakan kerahmatan yang kita perolehi di atas Jalan-Nya.
Untuk kita sentiasa berpuas hati dengan apa sahaja yang mendatang, bersangka baiklah terhadap Allah subhanahu wa ta'aala. Jika Allah
subhanahu wa ta'aala menjadikan satu-satu perkara itu, maka ketahuilah bahawa ianya baik untuk kita. Kita tidak mengetahui tetapi Allah
subhanahu wa ta'aala mengetahui kerana Dia
subhanahu wa ta'aala mencintai kita lebih daripada diri kita sendiri atau sesiapa sahaja yang boleh mencintai kita.
“Allah `azza wa jall berkata: ‘Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba-Ku terdapat orang beriman yang tidak boleh diperbetulkan kecuali disusahkan dengan kemiskinan, dan untuk Aku memberi kekayaan kepadanya, sudah pasti itu akan merosakkannya. Sesungguhnya, dari kalangan hamba-hamba-Ku terdapat orang beriman yang tidak boleh diperbetulkan kecuali dengan kekayaan dan kemewahan, dan untuk Aku merampas itu daripadanya, sudah pasti akan merosakkannya. Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba-Ku terdapat orang beriman yang tidak boleh diperbetulkan kecuali dengan kesihatan yang baik, dan untuk Aku memberikan dia kesihatan yang tidak baik, sudah pasti itu akan merosakkannya. Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba-Ku adalah orang beriman yang tidak boleh diperbetulkan kecuali dengan penyakit dan kesakitan, dan untuk Aku memberikan dia kesihatan, sudah pasti itu akan merosakkannya. Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba-Ku terdapat orang yang ingin beribadah dengan perbuatan-perbuatan tertentu tetapi Aku menghalangnya supaya kekaguman kepada diri sendiri tidak memasuki hatinya. Sudah tentu, Aku menguruskan hal-ehwal hamba-hamba-Ku dengan Pengetahuan-Ku tentang apa yang ada dalam hati-hati mereka. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui dan Maha Menyedari.” [Tabarani].
Maka marilah kita redha dan menyerahkan semuanya kepada Dia. Kerana Dia
subhanahu wa ta'aala mengetahui apa yang kita inginkan dan Dia
subhanahu wa ta'aala mengetahui bila untuk menganugerahkan apa yang kita inginkan. Atau kadangkala sama ada perlu atau tidak menganugerahkan kita dengan perkara-perkara itu. Sesungguhnya Dia
subhanahu wa ta'aala mengetahui apa yang terbaik.
*******
Beberapa doa (daripada al-Quran) yang boleh diamalkan setiap hari supaya dikurniakan zuriat yang soleh dan/atau memperbaiki keadaan zuriat yang sedia ada:
- Surah Al Baqarah, ayat 128
- Surah Ali Imraan, ayat 38
- Surah Ibrahim, ayat 40
- Surah Furqan, ayat 74
Dan bagaimana dapat dipastikan yang Allah
subhanahu wa ta'aala mendengar do’a kita? Lihatlah apa dijelaskan tentang perlakuan Zakaria `alaihissalaam dan isterinya
Dan (ingatlah) kisah Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya:
“Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.” Maka Kami memperkenankan do’anya, dan kami anugerahkan kepadanya Yahya dan kami jadikan isterinya dapat mengandung. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdo’a kepada kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.
[Surah Al-Anbiyaa’, 21:89 – 90]
Tetapi ingatlah:
‘Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami sedikitpun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam syurga). [Surah Saba, 34: 37]
Mengapa begitu? Kerana:
‘Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.’ [Surah Al-Kahf, 18: 46]
Semoga Allah
subhanahu wa ta'aala menjadikan kita sentiasa redha dengan apa yang Dia telah tetapkan untuk kita dan memberkati Ummah ini dengan zuriat yang soleh. Amin.
Dan Allah
subhanahu wa ta'aala mengetahui yang terbaik. Ingati saya dalam doa-doa kalian.
Wassalaamu`alaikom wa rahmatullaahi wa barkaatuh.
Yang mencintai,
Saudara perempuanmu yang perihatin.
0 comments:
Post a Comment